Thursday, July 22, 2010

Visi Jabatan


MOTTO
Bergerak Progresif Bersama ICT.


VISI
Menjadi pusat perkembangan ilmu ICT ke arah kecemerlangan pendidikan Kolej RISDA.


MISI
Mewujudkan peluang pembelajaran dan pengajaran bagi menghasilkan modal insan yang dapat memenuhi keperluan Negara dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Maklumat Jabatan

Berbekalkan misi Jabatan untuk menghasilkan modal insan yang dapat memenuhi keperluan Negara dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi, Jabatan Sains Komputer Kolej RISDA Melaka kini boleh berbangga kerana hasil formulasi silibusnya yang terkini, graduan-graduannya menjadi rebutan banyak organisasi.

Hasil perlaksanaan akademik yang mematuhi standard yang telah ditetapkan, diikuti dengan pemantauan berkala daripada badan-badan penilai akademik, satu program dalamannya iaitu Sijil Sains Komputer dan satu lagi program kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) iaitu Diploma Sains Komputer, telah mendapat pengiktirafan daripada pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Dengan pencapaian yang diperolehi, Jabatan Sains Komputer Kolej RISDA Melaka terus bergerak progresif untuk menawarkan program-program baru yang lebih berdaya saing dan relevan dengan keperluan industri. Justeru, Jabatan Sains Komputer Kolej RISDA kini dalam rangka kerja untuk menawarkan beberapa lagi program kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan UniKL bagi meluaskan lagi skop pembelajaran ICT ke arah kecemerlangan pendidikan Kolej RISDA.

Jabatan Sains Komputer Kolej RISDA Melaka sentiasa komited ke arah melahirkan graduan-graduan berkemahiran yang mampu memberi sumbangan kepada pembangunan Negara. Untuk itu, skema pengajiannya telah dibentuk supaya melengkapi keperluan teori dan praktikal agar mampu mempersiapkan para pelajarnya dengan kepakaran yang menyeluruh untuk mencapai prospek kerjaya dalam bidang ICT. Penetapan lima kredit dan tiga kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia sebagai syarat kelayakan masuk ke program diploma dan sijil masing-masing juga telah dibuat bagi memastikan jaminan kualiti bagi setiap program akademik yang ditawarkan.

Sebagai sebuah pusat perkembangan ilmu ICT, Jabatan Sains Komputer Kolej RISDA Melaka juga tidak ketinggalan untuk melaksanakan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat. Beberapa aktiviti yang pernah dijalankan dalam usaha untuk melahirkan belia-belia yang celik IT adalah seperti penganjuran bengkel animasi, bengkel blog, bengkel grafik, bengkel literasi komputer dan bengkel pemasangan komputer yang telah dijalankan secara usahasama dengan badan-badan seperti KEMAS, Kawasan Rukun Tetangga, sekolah-sekolah, Sahabat Belia Melaka malah dengan pihak RISDA sendiri. Selain memberi kesedaran tentang kepentingan ICT, program-program sebegini telah dapat membina hubungan baik antara Jabatan Sains Komputer Kolej RISDA Melaka dengan masyarakat luar.

Melalui usaha-usaha yang telah dan akan terus dijalankan ke arah menyediakan pusat pengajaran dan pembelajaran ICT, Jabatan Sains Komputer Kolej RISDA Melaka optimis untuk melahirkan profesionalisme yang dapat memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor industri masa kini. Sokongan dan pengiktirafan berterusan daripada Badan Penilai dan Pengawalan Mutu Akademik (JUMPA) UPM dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) membuktikan bahawa kualiti program-program di bawah kendalian Jabatan Sains Komputer Kolej RISDA Melaka adalah diperakui setanding dengan institusi-institusi pengajian tinggi yang lain.

Wednesday, May 19, 2010

Blog Rasmi Jabatan Sains Komputer Kolej RISDA Melaka

Selamat datang ke Blog rasmi Jabatan Sains Komputer Kolej RISDA Melaka. Blog ini dibangunkan khusus sebagai medium komunikasi untuk menyampaikan info terkini khusus kepada pelajar-pelajar di Jabatan Sains Komputer Kolej RISDA Melaka. Sebarang cadangan dan maklumbalas adalah dialu-alukan untuk proses penambahbaikan blog ini.